fbpx

‘Rasa nak hempuk dia dengan kuali dodol arwah uwan aku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAZLEY bengang 'scammer' menggunakan wajah dan suaranya untuk mengaut keuntungan dalam media sosial.

PETALING JAYA – Identiti disalah guna, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob meluahkan amarah apabila scammer ‘menjual’ wajah dan suaranya menerusi teknologi artifial intelligence (Al).

Fazley atau nama sebenarnya Ahmad Fazley Yaakob, 45, mendakwa kini tiba gilirannya menjadi mangsa pihak yang cuba meraih keuntungan dengan cara mudah.

“Penipu, nak marah tapi kelakar. Dah mula era penyalahgunaan teknologi Al, suara, muka, pergerakkan badan semua boleh ditiru,” katanya dalam perkongsian TikTok.

Dalam hantaran tersebut Fazley menunjukkan scammer menggunakan namanya untuk menjual barangan dapur dengan tawaran diskaun.

Rakaman video memaparkan wajah serta suaranya yang kononnya bercakap mengenai promosi set periuk yang ingin dijual.

Menerusi iklan dihebahkan, gudang yang menyimpan barangan jualan selebriti terbabit didakwa ditenggelami air akibat banjir sehingga perlu menawarkan harga rendah kepada pembeli.

Menerusi hantaran sama, penyanyi lagu Asmara Ini itu turut mengingatkan orang ramai agar jangan mudah terperdaya dengan tawaran tersebut.

“Minta tolong semua, jangan mudah percaya! Jom ramai-ramai laporkan akaun tersebut kalau ada ternampak,” katanya.

Fazley juga mengakui terkejut apabila menerima banyak pertanyaan berkenaan keadaan kilangnya bahkan ada sanggup menderma wang.

“Patutlah saya dapat mesej bertubi-tubi tanya kilang awak okey ke? Kesian awak ye! Dah kering ke banjir kat kilang awak?

“Tadi saya berjalan di Petaling Street pun ada makcik nak bagi saya duit. Saya terpinga-pinga, tak tahu saya yang ketinggalan keretapi atau makcik itu scammer,” jelasnya.

Secara sinis dia sempat memuji teknik pemasaran digunakan pihak tersebut yang disifatkan sebagai luar kotak.

“Apa pun, tabik kepada scammer itu, ‘marketing’ terlebih di luar kotak, sampai rasa nak hempuk muka dia dengan kuali dodol arwah uwan aku!” ujarnya.

Ini bukan kali pertama nama cef selebriti terbabit digunakan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengaut keuntungan secara mudah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI