KUANTAN – Seorang pengajar akademi memandu maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 240.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala barat di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam berlaku ketika mangsa, Nur Ashikin Ibrahim, 29, dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus di lorong kanan tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu datang kereta yang bergerak dari arah belakang telah melanggar motosikal ditunggang mangsa yang berada di lorong kanan.
“Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecderaan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pada pukul 10.31 malam mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Dalam pada itu beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan. – KOSMO! ONLINE