KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad badminton para negara, Nova Armada mengharapkan dua anak buahnya yang beraksi bagi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou dan Muhammad Fareez Anuar akan bertemu sesama sendiri di pentas final Sukan Paralimpik Paris 2024.
Kedua-dua atlet badminton para negara itu akan memulakan saingan separuh akhir Kumpulan A dan B pada awal pagi nanti pada pukul 3.40 pagi waktu Malaysia.
“Saya berharap Cheah (Liek Hou) dan Fareez akan bertemu di final nanti. Pagi nanti akan berlangsung perlawanan separuh akhir dan mudah-mudahan mereka dapat mengatasi pihak lawan.
“Setakat hari ini, mereka berdua dalam kondisi yang baik dan bersedia untuk memulakan saingan,” kata Nova.
Dalam perlawanan terdahulu, Fareez mengekalkan rekod tanpa kalah di temasya berprestij itu selepas menundukkan Taiyo Imai dari Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B di Porte de La Chapelle Arena semalam.
Di separuh akhir pagi nanti, Fareez akan membuat perhitungan dengan lawan dari Indonesia, Suryo Nugroho.
Sementara Liek Hou selaku pemenang pingat emas Tokyo 2020, bakal bertemu dengan musuh ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi yang mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B. – KOSMO! ONLINE