JEMPOL – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah bas membawa 23 penumpang di Kilometer 24, Jalan Bahau-Kemayan di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada pukul 10.50 malam itu melibatkan kereta Perodua Bezza dengan bas dipandu lelaki berusia 48 tahun yang dalam perjalanan dari arah Kemayan menuju ke Bahau.
“Setibaya di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun bersama seorang penumpang dipercayai hilang kawalan, berpusing dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas.
“Ekoran kemalangan itu, penumpang kereta berusia 38 tahun itu cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.
Pemandu kereta yang cedera di kaki dan muka menerima rawatan di Hospital Jempol. Pemandu dan penumpang bas tidak cedera. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE