fbpx

Kelab Eropah sambar tiga bintang Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUNNISA (dari kanan), Afiqah dan Fatin berangkat ke Scotland semalam menyertai Kelab Hoki Uddingston. - MHC

KUALA LUMPUR – Tiga pemain skuad hoki wanita kebangsaan berpeluang menunjukkan keupayaan mereka apabila ‘disambar’ Kelab Hoki Uddingston beraksi dalam saingan Liga Hoki Premier Scotland bermula 15 September ini.

Khairunnisa Ayuni Mohd. Sharuddin, Nurul Fatin Fatiah Azman dan Nur Afiqah Syahzani Azhar berjaya menambat hati barisan kejurulatihan Uddingston yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Wales dalam siri jelajah Cardiff baru-baru ini.

Mereka bertiga berangkat ke bumi Scotland semalam dan dijadualkan kembali ke tanah air pada 3 November depan bagi membantu skuad negara menghadapi Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Rajgir, India.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yakin pendedahan antarabangsa seperti itu akan memberi manfaat besar kepada pembangunan kualiti permainan pemain-pemain wanita negara. 

Menurut jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim, ketiga-tiga pemain tersebut merupakan tonggak utama pasukan dan telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam mutu permainan serta keyakinan.

“Kami dalam barisan kejurulatihan berharap mereka akan memanfaatkan peluang ini sepenuhnya untuk meningkatkan tahap permainan mereka, serta mengumpul sebanyak mungkin pengalaman beraksi bersama pemain Eropah,” kata Nasihin. 

Nasihin turut menambah pasukan hoki wanita Scotland adalah antara yang terkuat di Eropah dan pengalaman bermain bersama mereka di sana akan memberi impak positif kepada skuad kebangsaan.

“Barisan kejurulatihan percaya pengalaman mereka akan memberikan impak positif untuk pasukan kerana tempo permainan dan tahap hoki pasukan di Eropah adalah amat tinggi. Harapan kami tentunya mahukan mereka menterjemahkan semua ilmu yang mereka perolehi bersama pasukan kebangsaan,” jelas Nasihin.

Sebagai rekod, ini bukan kali pertama pemain hoki wanita kebangsaan beraksi di Eropah kerana Farah Ayuni Yahya dan Nuraini Abdul Rashid pernah beraksi di England, Fatin Shafika Sukri (Itali), Wan Norfaiezah Saiuti serta Nur Amirah Shakirah Zulkifli (Jerman).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI