fbpx

Kaji semula Akta Antigangguan Seksual 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy bersalaman dengan orang ramai ketika tiba sempena Program Jiwa Komuniti MADANI@Parlimen peringkat Parlimen Santubong di Mydin Petra Jaya, hari ini.

KUCHING – Akta Antigangguan Seksual 2022 perlu dikaji semula untuk pindaan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap organisasi yang gagal menangani kes gangguan seksual melibatkan kakitangan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia kerana akta sedia ada itu hanya menggariskan tindakan undang-undang terhadap individu dan bukan organisasi.

“Antara perkara yang perlu dipandang serius untuk pindaan adalah dengan memasukkan unsur akauntabiliti melibatkan organisasi yang sengaja mengabaikan laporan gangguan seksual oleh kakitangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jiwa Komuniti MADANI@Parlimen peringkat Parlimen Santubong di Mydin Petra Jaya, di sini, hari ini bagi mengulas mengenai kes gangguan seksual melibatkan seorang pekerja bank wanita yang didakwa diabaikan oleh pengurusannya.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 2021 itu sekali gus mendapat perhatian susulan piket yang diadakan di luar cawangan bank itu atas alasan untuk menuntut keadilan bagi mangsa gangguan seksual.

Justeru, Nancy berkata perkara itu telah dibincangkan di peringkat kementeriannya kerana peruntukan undang-undang terhadap organisasi yang terbukti mengabaikan kes sedemikian sangat diperlukan.

“Kita mencadangkan supaya ada pindaan untuk memasukkan unsur-unsur berkenaan, ia bukan dilihat dari segi gangguan seksual terhadap organisasi kerana kes berlaku antara individu dengan individu. Ini yang diperlukan untuk memperkemaskan akta berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI