KUALA LUMPUR – Orang ramai mula mengunjungi Jalan Masjid India di sini hari ini yang merupakan lokasi kejadian tanah jerlus yang ‘menelan’ pelancong warga India pada 23 Ogos lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati tiada sebarang operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan di lokasi tersebut selepas dihentikan serta-merta semalam.
Bongkah penghadang dan pita larangan masuk yang dipasang sebelum ini masih belum ditanggalkan.
Beberapa anggota polis dilihat mengawal rapi lokasi tersebut bagi mengelak ia dihampiri orang ramai termasuk pelancong.
Rata-rata peniaga yang ditemui meluahkan rasa lega dengan kehadiran pengunjung yang mula mengunjungi lokasi tersebut sejak semalam sempena Hari Merdeka.
Peniaga, Rizman Yahya, 45, berkata, dia baru membuka operasi premisnya hari ini sejak ditutup lima hari lalu.
“Kedai saya ditutup sebelum ini kerana berada dalam kawasan yang diletakkan pita keselamatan.
“Saya amat berharap dapat menjalankan perniagaan seperti biasa kerana sejak kejadian (tanah jerlus) itu saya menanggung kerugiaan kira-kira 50 hingga 60 peratus.
“Saya berharap semuanya akan kembali seperti dulu dan dapat menampung semula kerugian sebelum ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi peniaga, Siti Aisha Salvador, 44, berkata, kebanyakan pengunjung yang datang ke Jalan Masjid India hari ini adalah pelancong dan golongan warga asing.
“Sejak semalam orang ramai sudah mula datang ke sini dan saya mendapati kebanyakan mereka adalah pelancong dan warga asing. Mungkin orang tempatan masih takut untuk datang ke sini.
“Walaupun tidak semeriah dulu, saya bersyukur apabila orang ramai sudah mula berkunjung ke kawasan ini,” katanya.
Jelas Siti Aisha, sejak hari pertama insiden tanah jerlus itu dia tidak menutup operasi kedainya meskipun tiada pelanggan.
Seorang pelancong dari Medan, Indonesia, Ida Idrus, 44, memberitahu, dia mengambil langkah berjaga-jaga ketika membeli-belah di Jalan Masjid India.
“Saya tahu mengenai kejadian tanah jerlus minggu lalu, tapi saya terpaksa memberanikan diri datang ke sini bersama suami dan anak-anak.
“Ini merupakan kunjungan pertama saya dan keluarga ke Kuala Lumpur. Insya-Allah semuanya baik-baik sahaja,” kata ibu tiga anak itu.
Seorang lagi pengunjung, Aina Rosli, 19, berkata, pada awalnya, dia berasa takut untuk datang ke Jalan Masjid India, namun akur selepas dipujuk dua rakannya.
“Selepas tahu aktiviti SAR dihentikan semalam, kawan saya ajak datang ke sini untuk membeli-belah. Pada awalnya memang takut. Allhamdulillah setakat ini baik sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE