MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag melancarkan perang psikologi menjelang aksi menentang seteru tradisi, Liverpool di Old Trafford pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok.
Ten Hag berpendapat bahawa Liverpool memiliki kelebihan apabila mempunyai skuad yang dianggap mantap terutama aspek persefahaman, selain para pemain yang berstatus bintang dan mampu memberikan kualiti terbaik dalam setiap perlawanan.
“Liverpool memasuki fasa yang berbeza kitaran mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang matang apabila para pemain mereka sudah lama beraksi bersama-sama dan memiliki pengalaman.
“Situasi di United berbeza apabila kami adalah pasukan yang sedang dibina. Kami memerlukan masa untuk benar-benar menjadikan pasukan ini mantap dan kuat di semua posisi,” katanya.
Rekod pertemuan sebelum ini menyaksikan United tidak pernah menewaskan Liverpool dalam saingan EPL selepas meraih kemenangan 2-1 di Old Trafford pada Ogos 2022 selain meraih kemenangan pada aksi Piala FA musim lalu.
Liverpool menamatkan saingan di kedudukan ketiga EPL musim lalu berbanding United di tangga kelapan dan memiliki kelebihan 22 mata, namun Ten Hag percaya pasukannya perlu kembali menyerap semangat ketika aksi final Piala FA menentang Manchester City sebelum ini.
“Kami mampu untuk sentiasa menang, musim lalu kami memenangi aksi untuk separuh kedua musim termasuk menjulang Piala FA.
“Ketika saya membuat keputusan untuk menyertai United, saya sedar bahawa ia adalah perkara yang paling sukar akan saya hadapi dalam hidup, memilih menyertai kelab yang penuh dengan masalah.
“Saya ‘mewarisi’ sejarah enam tahun tanpa trofi. Kami masih lagi dalam proses transisi, kami mempunyai pemain muda, pemain akademi dan kami perlu bekerja keras untuk membetulkan semula struktur pasukan ini demi masa depan,” jelasnya. – AGENSI