NAPLES – Penyerang baharu Napoli, Romelu Lukaku mengakui seperti berada dalam mimpi selepas berjaya meledak gol pada aksi debut untuk membantu pasukan melakar kemenangan 2-1 ke atas Parma dalam aksi Serie A awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Lukaku masuk sebagai pemain gantian selepas Napoli ketinggalan 0-1 sebelum menyumbat gol penyamaan pada minit ke-90+2, manakala jaringan kemenangan diledak oleh Frank Zambo Anguissa empat minit kemudian.
Lukaku yang berhijrah secara tetap ke Napoli daripada Chelsea mengakui teruja apabila diberikan peluang oleh ketua jurulatih, Antonio Conte meskipun kurang dua hari menjalani latihan bersama pasukan.
“Saya rasa berbangga apabila dapat mewakili kelab besar seperti Napoli. Pasukan ini memiliki penyokong yang setia dan menyambut kehadiran saya dengan sempurna.
“Secara jujur, ini bukanlah kali pertama saya jaringkan gol pada perlawanan debut, tetapi sudah tentu saya gembira kerana ini adalah jaringan penting untuk memastikan pasukan bangkit melakar kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Conte percaya Lukaku adalah individu yang tepat untuk menggantikan posisi penyerang kontroversi, Victor Osimhen yang dibuang daripada skuad utama pada musim ini.
“Ini adalah reaksi yang positif ditunjukkan oleh Lukaku. Apabila dia menjaringkan gol, saya tidak mahu mereka meraikannya kerana kita perlu memburu kemenangan sebelum wisel penamat ditiupkan,” katanya. – AGENSI