KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan membatalkan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) sekiranya pembekal gagal menepati masa yang diberikan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mindef memberikan tempoh masa sehingga Oktober ini kepada pembekal bagi penghantaran empat helikopter sewaan berkenaan.
“Belum (buat keputusan pembatalan), Kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran.
“Jika tiada penghantaran (helikopter Black Hawk), akan batal (kontrak pembekal). Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya ketika diminta mengulas keputusan Mindef berhubung pembatalan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter Black Hawk.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3 di sini, hari ini.
Pada awal bulan lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata Mindef sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.
Sebelum ini, Mindef dilaporkan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum menentukan langkah seterusnya sama ada untuk membatalkan kontrak atau berikan masa tambahan kepada pembekal. – KOSMO! ONLINE