SEKITAR dua tahun lalu, nama pelakon Jue Aziz hangat diperkatakan apabila dia memuat naik gambar dalam media sosial menunjukkan dia duduk di atas pelamin seorang lelaki sambil memegang bunga kerana ramai menyangkakan bahawa dia sudah berkahwin lagi.
Jue kemudian menafikan khabar angin itu dan mengatakan majlis tersebut merupakan pertunangan anak buahnya.
Sekali lagi perkara sama berulang semula apabila dia memuat naik video mengenakan pakaian pengantin dengan tangan yang berinai.
Meskipun dalam video tersebut dikatakan hanya satu gimik melibatkan produk kosmetik jenamanya, namun netizen saling berteka-teki mengenai status ibu anak satu itu.
Selepas mengakui berpisah dengan bekas suami yang merupakan pemuzik dari Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmad Daniel pada Januari 2019, tiada sebarang berita mengatakan dia sudah berkahwin semula.
Sebilangan peminat saling ‘membincangkan’ status Jue gara-gara video memakai baju kahwin itu.
Biarpun tiada sebarang kenyataan daripada tuan punya badan, namun mereka tetap meninggalkan ucapan selamat dan mendoakan semoga jodoh berpanjangan.
Dalam pada menitip doa, ada juga yang ‘nakal’ mencuba nasib untuk memikat Jue sekali gus menjadi bapa kepada anaknya, Darwish Naufal.
Diva: Semoga rumah tangga Shuk Sahar dan Fara Salleh terus berada dalam keadaan baik-baik dan diredai Allah SWT.