fbpx

2,000 penduduk dapat manfaat projek jalan Sungai Pergam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) ketika menghadiri majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan utama Parit 1 - Parit 10 Kampung Sungai Pergam, Bagan Datuk hari ini. - Foto AINSAFRE BIDIN/ KOSMO!

BAGAN DATUK – Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sungai Pergam dan Sungai Dulang di sini, bakal mendapat manfaat apabila projek membina dan menaik taraf jalan utama kampung tersebut bernilai RM88 juta dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata, projek melibatkan laluan utama Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam itu dijangka siap pada 29 Ogos 2028.

Menurutnya, projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang empat kilometer (km) dan membina jalan baharu sepanjang 2.5 km bagi menghubungkan jalan utama Kampung Sungai Pergam sehingga ke Jalan Persekutuan Bagan Datuk.

“Projek ini telah diminta oleh penduduk sejak 1995 lagi kerana jalan di kampung itu sempit dan kereta tidak boleh berselisih terutama ketika musim perayaan apabila ramai perantau pulang ke kampung,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dengan pelaksanaan projek terbabit, tempoh perjalanan penduduk ke pekan Bagan Datuk akan dikurangkan selama lima minit.

Katanya, jalan baharu itu juga akan membolehkan kegiatan ekonomi di kawasan Sungai Pergam dan Sungai Dulang menjadi semakin rancak dan perhubungan seharian penduduk menjadi bertambah baik.

Dalam pada itu, jelasnya, projek menaik taraf jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro’, pekan Bagan Datuk juga telah diluluskan tahun lalu di bawah Rolling Plan Ke-3 RMKe-12 dengan kos pembinaan sebanyak RM2.9 juta.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada yang sempit kepada dua lorong sepanjang 114 meter dan dijangka siap pada 5 Ogos 2026,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI