KUALA LUMPUR – Semangat Hari Kebangsaan seolah-olah meresap dalam diri beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah ketika berjaya meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Korea.
Di kala seluruh rakyat Malaysia sedang meraikan kemerdekaan ke-67 negara hari ini, pasangan No.9 dunia itu pula mengerah segala kudrat ketika berjuang menewaskan beregu tuan rumah, Baek Ha Na-Lee Soo Hee 21-18, 21-13 di pusingan separuh akhir sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo, Seoul itu, beregu negara langsung tidak menunjukkan rasa gentar walaupun berdepan gandingan No.2 dunia serta ribuan penyokong lawan.
Meskipun aksi set pertama dilihat seimbang ketika terikat 10-10, namun pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mula menjarakkan diri selepas mendahului 11-10 sebelum memastikan kemenangan pertama 21-18.
Berbekalkan semangat yang diraih hasil kemenangan set pertama, corak permainan Pearly-Thinaah terus sukar untuk digugat Ha Na-So Hee apabila menguasai sepenuhnya set kedua biarpun pada awalnya ketinggalan 0-4.
Semangat juang serta fokus yang ditunjukkan ketika berada dalam gelanggang terus membantu bekas pemenang kejohanan Terbuka Perancis itu untuk memintas kedudukan lawan dan mengesahkan tempat ke pentas final menerusi kemenangan 21-13.
Menanti Pearly-Thinaah di perlawanan akhir esok adalah satu lagi beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong yang menewaskan rakan sepasukan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-14, 21-11.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir dan mereka dijadualkan bertemu Guo Xin Wa-Li Qian dari China. – KOSMO! ONLINE