fbpx

Siulan sepanjang zaman peniup semangat anak Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI karya bertemakan kenegaraan, anak-anak seni tanah air turut menyumbang meniup semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

HARI ini tanggal 31 Ogos Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-67. Selain pelbagai program dan filem diterbitkan untuk meningkatkan perpaduan, muzik juga menjadi salah satu wadah yang diterapkan dalam kalangan rakyat.

Tidak dinafikan lagu-lagu patriotik malar segar lebih mempunyai ‘rasa’, malah masih dinyanyikan sehingga ke hari ini tetapi lagu kenegaraan ciptaan komposer masa kini juga tidak kurang hebatnya.

Selain Bahtera Merdeka yang sering menjadi siulan setiap kali sambutan kemerdekaan tanah air, HibGlam menyenaraikan koleksi lagu patriotik popular dari dahulu sehingga kini.

Tanggal 31 Ogos

Paling popular sudah tentu lagu ikonik, Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Lagu ciptaan Ahmad CB itu dicipta apabila beliau mendengar khabar Malaya akan merdeka. Versi asal Ahmad CB melodinya lebih perlahan dan kedengaran lebih klasik.

Karya itu kemudian dipopularkan Sudirman pada 1982, sekali gus menjadi lagu wajib setiap kali tibanya bulan kemerdekaan.

Menerusi lagu itulah, Sudirman telah mencipta sejarah apabila mengenakan busana yang diinspirasikan daripada bendera Malaysia.

Saya Anak Malaysia

Lagu Saya Anak Malaysia dendangan penyanyi Salim Ibrahim yang menggelarkan dirinya sebagai Dr. Sam cukup sinonim dengan sambutan kemerdekaan.

Masakan tidak, lagu yang dicipta pada 1986 itu cukup ‘catchy’ dan liriknya juga dekat di hati masyarakat sekali gus mudah diingati.

Lagu ciptaan sifu Datuk M.Nasir dan lirik S. Amin Shahab tersebut malar segar meskipun telah dibuat pelbagai versi serta diberi nafas baharu oleh ramai penyanyi lain.

Negaraku

Lagu patriotik bernuansa pop, Negaraku yang didendangkan oleh Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir pada 2016 tidak kurang hebatnya.
Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir berkolaborasi dengan Ezra Kong dan Mike Chan untuk menulis lagu tersebut. Negaraku mengangkat kisah perjuangan pelayar Melayu hebat, Panglima Awang atau Henry The Black dan Enrique of Malacca yang telah berjaya mengelilingi dunia. Lagu berkenaan menjadi antara satu peringatan betapa hebatnya tamadun bangsa kita dan sebagai rakyat kita harus sepenuhnya mencintai tanah tumpah darah ini.

 

Malaysia

Selepas muncul dengan Negaraku, Faizal Tahir kembali dengan sebuah lagu patriotik ciptaan dan nyanyiannya sendiri iaitu Malaysia pada 2018.

Lagu berkenaan dihasilkan dalam nuansa pop rock tentang sebuah luahan jiwa seseorang yang sanggup mempertahankan tanah air tercinta kerana kesetiaannya pada negara.

Faizal Tahir antara penyanyi generasi baharu yang semakin banyak mencipta dan menyanyikan karya berkonsep patriotik dan lagu tersebut cukup popular dalam kalangan generasi muda.

Standing In The Eyes Of The World

Lagu Standing In The Eyes Of The World dendangan Ratu Rock Ella yang pada asalnya menjadi lagu tema Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 sangat ikonik sehingga ke hari ini.

Standing In The Eyes Of The World dicipta Datuk Wah Idris, manakala liriknya pula ditulis Datuk Habsah Hassan.

Turut terlibat sama dalam pembikinan lagu berkenaan adalah David Gates iaitu bekas penyanyi kumpulan Bread. Beliau turut menyanyikan lagu ini dalam versi bahasa Inggeris.

Menariknya, Ella menyanyikan lagu ini pada temasya Komanwel 1998 dan kemudian menyanyikannya sekali lagi pada acara penutup Sukan SEA KL pada 2017.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI