SEBERANG PERAI – Impian Rosita Che Ros, 54, untuk menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah tercapai sebelum dia disahkan meninggal dunia sewaktu menuruni puncak gunung itu kelmarin.
Abangnya, Datuk Zamri berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan adiknya kira-kira seminggu sebelum arwah dan suaminya berangkat ke Sabah.
“Saya ada menasihatkan arwah adik supaya berhati-hati. Jangan terlalu ‘push’ diri memandangkan masing-masing (adik dan suami) sudah berusia, namun arwah meyakinkan saya bahawa itu merupakan ekspedisi terakhirnya.
“Arwah beritahu selepas berjaya menawan Gunung Kinabalu, dia sudah tidak mahu mendaki lagi dan hendak berehat.
“Setahu saya, arwah sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, jadi memang terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pokok Tampang, di sini hari ini.
Zamri memaklumkan, adiknya yang juga ibu kepada empat anak itu aktif dalam aktiviti pendakian sejak enam tahun lalu sejak berhenti kerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.
Jenazah Rosita selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pokok Tampang selepas solat Asar petang tadi. – KOSMO! ONLINE