fbpx

PM bangga lihat penyertaan penuh semangat kontinjen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar perarakan aset ketenteraan yang dikongsi Perdana Menteri di Facebooknya hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau begitu kagum dan bangga melihat penyertaan penuh bersemangat dan bertenaga daripada semua pasukan terlibat ketika perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini.

Katanya, dia turut berasa kagum melihat pelbagai persembahan yang memukau, terutamanya pertunjukan aset-aset udara serta persembahan Malaysia Madani Jiwa Merdeka yang mengangkat tema integriti dengan mengetengahkan perjuangan membersihkan negara daripada rasuah.

“Saya dan Azizah hadir berhimpun di Dataran Putrajaya pagi tadi bersama ratusan ribu rakyat Malaysia dari seluruh negara untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

“Persembahan dan sorakan menakjubkan daripada sekitar 2,000 anak-anak pelajar yang memenuhi pasukan Teres Grafik Manusia juga mencuri tumpuan sepanjang perarakan ini,” katanya dalam satu hantaran terbaharu di Facebook hari ini.

Tambah Anwar, penghargaan tertinggi dan syabas buat ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sanggup menunggu seawal pagi semata-mata mahu menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

“Semoga sambutan hebat ini mencetus inspirasi untuk kita bersama-sama memaknai kemerdekaan yang telah kita nikmati sejak 67 tahun lalu dengan semangat perpaduan yang utuh dan jiwa rakyat yang bebas dan merdeka,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI