fbpx

Merdeka diraih atas darah, air mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAMSUDIN menunjukkan sijil penghargaan yang diterima oleh Arkib Negara Malaysia dan gambar beliau mengayakan seragam pengakap.

PONTIAN – Detik menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu merupakan antara kenangan yang tidak dapat dilupakan seorang veteran UMNO selepas melalui pelbagai rintangan untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah Inggeris pada 31 Ogos 1957.

Tokoh pengakap Malaysia, Shamsudin Ahmad, 87, berkata, hari itu masih segar dalam ingatannya apabila diberi ama­nah untuk menaikkan bendera Ta­nah Melayu selepas menurun­kan Union Jack di Padang Bandar Pontian sebagai tanda bebas daripada jajahan British.

Katanya, dia bersama dua rakannya, Allahyarham Jalaludin Ibrahim dan Allahyarham Muhaimin Mohd. Amin yang ketika itu berusia 20 tahun mengalirkan air mata sebaik dimaklumkan mengenai penugasan penuh bersejarah itu.

“Kira-kira 3,000 orang me­nyaksikan detik itu serentak dengan pengisytiharan kemerdekaan di Kuala Lumpur oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

“Ucapan beberapa pe­mimpin termasuk ‘singa’ UMNO, Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar Syed Hasan Albar supaya meneruskan perjuangan membuatkan sema­ngat orang kampung berkobar-kobar,” katanya.

Menurut Shamsudin, selain itu, ucapan Allahyarham Ikhwan Nasir, Cikgu Samion, Datuk Ali Ahmad juga ‘panas’ apabila mengingatkan supaya anak bangsa menjadi orang berpelajaran bagi mengekalkan kemerdekaan.

Tambahnya, dia bersama arwah Muhaimin sekali lagi diberikan peluang menaikan Jalur Gemilang di Stadium Mini Pontian ketika sambutan Hari Kebangsaan ke-60.

Tambahnya, generasi muda wajar menghayati erti kemerdekaan yang dicapai de­ngan penuh ranjau, darah dan air mata orang terdahulu.

Di Sungai Petani, Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Nur Iylia Mohd Jasme Pakhruddin, 21, berkata, generasi muda amat terhutang budi dengan pejuang terdahulu.

“Kita perlu mengekalkan kemerdekaan ini kerana ketika ini kita terdedah dengan ancaman pemikiran dan budaya ­asing di internet.

“Perpaduan merupakan asas penting kemakmuran bagi sebuah negara yang berbilang kaum jadi kita mesti mengekalkan kemerdekaan ini,” katanya.

Di Shah Alam, pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz, K. Arvind Rao, 19, berharap perpaduan yang terjalin terus utuh sampai bila-bila.

“Isu sensitif, fitnah dan mencari perbezaan perlu dielakkan bagi mengelak insiden seperti 13 Mei 1969 berulang.

“Medium perpecahan um­pama minyak membakar api kebencian yang bakal membawa kemudaratan kepada negara. Pelabur luar juga akan lari jika negara kucar kacir,” katanya.

Siti Nur Balqis Abdullah, 20, pula berpendapat, orang muda mengharap kestabilan terutama ekonomi dan politik demi masa depan mereka.

“Kita mahu kestabilan supaya peluang kerja bertambah luas. Seharusnya, ketika ini tidak timbul lagi perkara yang boleh meruntuhkan negara.

“Jati diri orang muda juga harus kuat dan bersama-sama melonjakkan negara untuk kemudahan generasi selepas kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI