PETALING JAYA – Tema kemerdekaan tahun ini, Malaysia Madani: Jiwa Merdeka menggambarkan aspirasi kita untuk membina sebuah negara yang berpaksikan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan keberanian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tema itu juga mengingatkan kita bahawa kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan, tetapi tanggungjawab sebagai rakyat untuk memelihara kemakmuran, perpaduan dan keharmonian di tanah air tercinta.
“Dalam menghadapi cabaran masa kini, marilah kita mengambil semangat pejuang kemerdekaan sebagai inspirasi untuk terus memperkukuh nilai-nilai Madani memupuk persaudaraan, menghormati kepelbagaian dan memperjuangkan keadilan sosial.
“Sebagai anak Malaysia, kita semua bertanggungjawab memastikan warisan kemerdekaan ini terus terpelihara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid turut mengajak semua rakyat untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga menunjukkan jiwa sebagai rakyat merdeka.
“Setelah 67 tahun mencapai kemerdekaan, kini kita berdiri teguh sebagai bangsa Malaysia yang bersatu dan terus melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan.
“Marilah kita bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga serta menghayati makna Jiwa Merdeka,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE.