KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera selepas ditetak dengan dua bilah gunting sewaktu menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Kijang, Badang dekat sini awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke rumah itu untuk menangkap suspek pada pukul 1 pagi selepas menerima maklumat mengenai satu kes khianat.
Menurutnya, semasa usaha menangkap suspek dijalankan, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu bertindak menyerang polis dengan dua bilah gunting.
“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua lengan anggota polis cedera. Polis mengarahkan suspek supaya namun lelaki itu terus menyerang anggota secara bertubi-tubi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam usaha untuk mempertahankan diri dan keselamatan awam, polis melepaskan satu das tembakan. Lelaki itu berjaya ditahan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut.
“Suspek berada dalam keadaan stabil dan direman selama enam hari sehingga 5 September ini,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307, 353 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE