fbpx

KWSP bukan alat untuk selesaikan masalah kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIMPANAN hari tua memberi jaminan kehidupan lebih selesa apabila bersara kelak. – GAMBAR HIASAN

DALAM mendepani kehidupan selepas bersara, setiap daripada kita masih memerlukan sejumlah simpanan untuk tujuan tersebut.

Oleh itu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan satu instrumen yang dapat membantu semua membina masa hadapan persaraan yang lebih baik.

Namun begitu, ketika negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19 ramai di antara kita telah mengambil peluang untuk mengeluarkan wang KWSP menerusi skim i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar.

Malah, sejak beberapa kemudahan tersebut yang diberikan untuk mengurangkan beban ahli, kini ramai yang mula beranggapan bahawa KWSP sebagai satu platform penyelesaian kepada masalah kewangan yang mereka hadapi dan sewenang-wenang­nya ingin membuat pengeluaran sekali gus boleh menyebabkan simpanan persaraan mereka berkurangan.

DR. NURUL SHAHNAZ AHMAD

Pensyarah di Jabatan Kewangan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Prof. Dr. Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan berkata, sebaiknya simpanan di KWSP tidak boleh disentuh untuk tujuan lain selain persaraan.

“Matlamat utama KWSP adalah untuk persaraan dan ­se­ba­iknya biarlah matlamat ini kekal untuk persaraan sepertimana di bawah aktanya.

“Saya yakin tidak ada pekerja yang akan memulakan simpanan tabung persaraan mereka, jadi melalui KWSP ini ia akan memberi manfaat jangka jangka masa panjang untuk pekerja setelah mereka bersara kelak.

“Perlu diingatkan bahawa selepas bersara, kita mungkin tidak mampu bekerja atas faktor kesihatan dan sebagainya dan KWSP ini yang akan digunakan untuk meneruskan kehidupan.

“Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan KWSP ini sebagai satu bentuk penyelesaian kepada masalah kewangan sehingga menyebabkan simpanan untuk persaraan berkurang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Nurul Shahnaz menjelaskan, para ahli KWSP perlu membuat perancangan kewangan peringkat awal sejak di usia muda dengan meletakkan sebahagian pendapatan untuk hari tua.

Perbelanjaan tambahan untuk tujuan kesihatan misal­nya amat diperlukan setelah kita bersara kelak.

“Oleh itu, KWSP amat penting untuk memastikan warga emas dapat hidup selesa selepas waktu persaraan.

“Bayangkan jika kita membuat pengeluaran yang banyak sewaktu muda, berapa banyak simpanan yang kita ada apabila bersara kelak,” jelasnya.

Sebaliknya ahli disarankan untuk cubalah mencari alternatif lain terlebih dahulu misalnya dengan mendapatkan khidmat nasihat melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menstruktur semula pinjaman dan sebagainya yang menjerumuskan mereka dalam masalah kewangan.

Nurul Shahnaz mengakui perkara yang tidak dijangka se­perti Covid-19 sebelum ini boleh menyebabkan seseorang individu itu berhadapan dengan masalah kewangan.

Menurutnya, untuk memastikan kita sentiasa bersedia untuk menghadapi perkara di luar jangka, setiap individu perlu men­yimpan untuk tabung kecemasan sekurang-kurangnya enam bulan daripada pendapatan kita.

Tabung ini paling penting untuk diwujudkan, selain itu kita juga perlu berbelanja secara berhemah dan ‘ukur baju di badan sendiri’ ketika melakukan perbelanjaan.

“Selain itu, kita juga boleh mengambil insurans atau takaful kesihatan dalam memastikan kita mempunyai perlindungan ketika ditimpa musibah,” jelasnya.

DR. MOHD. AFZANIZAM ABDUL RASHID

Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, sebaiknya simpanan KWSP tidak perlu diusik kerana tujuannya adalah untuk digunakan pada hari persaraan kelak.

Menurutnya, walaupun keperluan semasa juga penting kerana ramai yang tidak mempunyai kewangan tunai yang mencukupi, namun pengeluaran daripada Akaun Persaraan bukanlah jalan penyelesaiannya.

“KWSP telah mencari jalan untuk membantu ahli dan sebagai­nya, jadi simpanan itu jangan diusik.

“Jika memerlukan duit untuk kegunaan kecemasan, pencarum kini boleh berbuat demikian melalui Akaun Fleksibel.

“Kita perlu sedar bahawa secara asasnya, simpanan KWSP ini adalah untuk tujuan persaraan. Pengeluaran hanya boleh dilakukan untuk tujuan-tujuan tertentu yang menyumbangkan kepada kesejahteraan persaraan dan bukannya untuk perkara yang membazir,” terangnya.

Mengulas lanjut, Afzanizam berkata, masyarakat perlu sedar bahawa KWSP memberi pulangan yang baik dari segi dividen.

Jika simpanan KWSP sering dikeluarkan kita yang akan rugi kerana tidak akan mendapat hasil daripada pulangan dividen yang menarik.

Untuk kita menikmati hasil dividen yang tinggi, simpanan tersebut perlu tersimpan dengan KWSP selama yang mungkin.

“Sebaliknya, jika kita sering mengeluarkannya kita akan hilang kelebihan tersebut dan melepaskan peluang untuk menikmati pulangan yang baik,” jelasnya.

Tambah beliau, dividen yang diberikan oleh KWSP adalah pada satu kadar yang menarik.

Dalam pada itu, Afzanizam juga menitipkan pesan untuk setiap individu di luar sana agar merancang kewangan mereka dengan baik agar tidak berhadapan dengan masalah kewangan.

Oleh itu, ilmu literasi kewangan sangat penting untuk diterap­kan pada semua orang. Setiap individu boleh menyimpan atau me­labur di instrumen yang lain seperti melalui sijil simpanan, hartanah bagi membolehkan simpanan seseorang makin kukuh.

DR. NOR YASMIN MHD. BANI

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Nor Yasmin Mhd Bani berkata, KWSP bukan hanya simpanan untuk persaraan tetapi juga sokongan sepanjang hayat.

“KWSP ini bukan satu-satunya penyelesaian kepada masalah kewangan dan pada masa yang sama, kita perlu mengambil kira kewangan selepas bersara.

“Ini kerana pencarum tiada lagi punca pendapatan ketika itu dan bergantung sepenuhnya kepada KWSP,” jelasnya.

Jika simpanan KWSP ‘disentuh’ ia akan mengambil masa yang lama untuk diganti semula. Nor Yasmin menjelaskan, ini lebih sukar jika tahap gaji kekal untuk satu tempoh yang lama.

“Pencarum akan kerugian kerana setiap ringgit yang dicarumkan akan mempunyai nilai dividen,” katanya.

Oleh itu, setiap individu harus mencari alternatif untuk merancang kewangan mereka dengan baik supaya ia boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

“Wajibkan diri menabung walaupun hanya satu pe­ratus daripada gaji dan ia boleh disimpan di institusi perbankan yang menawarkan dividen yang tinggi.

“Selain itu, kita juga boleh me­labur di instrumen pelaburan yang tidak tinggi risiko seperti Amanah Saham Berhad ataupun menyim­pan di skim persaraan swasta,” terangnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI