fbpx

Dr. Zulkifli lepas jawatan dalam TheNoor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli.

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi TheNoor, bermula hari ini.

Menerusi satu kenyataan di aplikasi X, Dr. Zulkifli berkata, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan yang mendalam dan mengambil kira pelbagai faktor yang relevan terhadap tanggungjawab dan masa hadapannya.

Katanya, sepanjang bersama TheNoor yang juga sebuah aplikasi gaya hidup muslim, beberapa program telah dijayakan dan sedang diusahakan termasuk ’30 Days Ramadhan Capsule’.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam kolaborasi strategik dan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi soal jawab agama serta projek eBuku.

“Saya berkeyakinan bahawa pasukan pengurusan baharu TheNoor akan terus komited untuk mencapai visi dan misi syarikat dengan jayanya.

“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada saya sepanjang tempoh perkhidmatan saya di TheNoor,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dr. Zulkifli turut menegaskan bahawa selepas tarikh peletakan jawatan itu berkuat kuasa, beliau tidak lagi terlibat dalam sebarang urusan, keputusan, atau aktiviti yang berkaitan dengan TheNoor.

“Segala urusan dan tanggungjawab yang melibatkan TheNoor selepas 31 Ogos 2024 adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab pihak pengurusan baharu.

“Akhir sekali, saya mendoakan agar TheNoor terus maju dan berjaya mencapai kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI