NEW DELHI – Pasukan pakar bedah sebuah hospital di Motihari, negeri Bihar terpaksa mengeluarkan kunci dan beberapa objek tajam lain dari dalam perut seorang pemuda berusia awal 20-an, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Situasi itu terbongkar apabila ibu pesakit yang tidak dinamakan, menyedari kunci almari pakaiannya hilang.
Dia kemudian bertanyakan anaknya berhubung keberadaan kunci itu.
“Anak saya menjawab bahawa kunci itu telah ditelan tetapi saya anggap jawapan itu sebagai gurauan,” kata ibu pesakit.
Bagaimanapun, pemuda itu disahkan menghidap penyakit ganjil selepas dibawa ke hospital di Motihari, negeri Bihar untuk menjalani pemeriksaan.
Ketua pakar bedah dikenali sebagai Kumar berkata, ujian imbasan ‘ultrasound’ menunjukkan pesakit menelan kunci dan beberapa objek lain yang tidak boleh dimakan.
“Selain kunci, saya dan pasukan bedah turut mengeluarkan pemotong kuku dan pisau lipat,” kata Kumar.
Pesakit dilaporkan semakin pulih dan penyakit yang dialaminya masih menjadi misteri.
“Tindakan pesakit itu dipercayai kerana terpengaruh akibat penggunaan telefon bimbit yang berlebihan,” tambahnya. – AGENSI