PETALING JAYA — Memuat naik hantaran momen meluangkan masa terakhir bersama anak sebelum dijatuhi hukuman dunia, Instagram pendakwah selebriti, Dai Syed dihujani rasa simpati netizen.
Bertambah sayu apabila pemilik nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, itu dilihat memuat naik foto sedang membaca buku sambil memeluk puterinya.
Bukan itu sahaja, netizen turut bersedih melihat isterinya, Hana Ismail, 38, yang baru melahirkan bayi sulung mereka 16 hari lalu terpaksa berpisah dengan cinta hati.
“Sedihnya rasa, walaupun kita tahu kesalahan dia tetapi emosi memang kalah lihat anak masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang bapa,” komen netizen itu.
“10 tahun berpisah dengan anak, tak boleh bayangkan perasaan itu, kalau saya boleh jadi gila,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Kasihan Hana, pantang pun belum habis tetapi perlu hadap semua ini. Harap keluarganya sentiasa pantau dan beri sokongan, ibu berpantang emosi lain sikit, sabarlah ini ujian Allah untuk kalian,” demikian komen seorang lagi pengguna media sosial.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan Dai Syed menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh selepas mendengar keputusan Hakim Norazlin Othman atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 Shah Alam, pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Dia dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan selepas didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.
Dia sempat memeluk isterinya yang masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan cahaya mata mereka.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros. – KOSMO! ONLINE