PETALING JAYA — Terpedaya dengan jemputan kerjasama podcast (audio siar) berbayar dengan sebuah syarikat antarabangsa mengakibatkan penyanyi Atilia menjadi mangsa penipuan secara atas talian.
Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 50, berkata, taktik scammer itu menyebabkan dia kehilangan akses akaun sosial media miliknya secara tiba-tiba termasuk 68,000 jumlah pengikut di Facebook.
“Saya hilang semua akaun sosial media tetapi berjaya mendapatkan semula kecuali Fanpage Facebook dengan jumlah pengikut 68,000.
“Saya bimbang ada orang lain yang cuba menipu menjadi diri saya,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Kata pelantun lagu Cinta Sampai Mati itu, dia sebelum itu menerima e-mel daripada pihak tersebut yang menjemputnya mengadakan mesyuarat secara atas talian.
“Saya menerima tawaran yang pada awalnya nampak asli, jadi saya terima tawaran tersebut.
“Kami bermesyuarat secara atas talian dan diminta berkongsi skrin untuk mereka tunjukkan cara bersiaran langsung.
“Dalam tempoh seminit, kursor saya diambil alih dan ada perubahan pada tetapan di Facebook,” jelasnya.
Lebih berhati-hati, Atilia berharap agar tiada individu lain yang menjadi mangsa sepertinya.
“Baca e-mel dan sentiasa percaya pada naluri. Jangan kongsi skrin melainkan anda betul-betul yakin.
“Saya harap tiada orang lain yang menjadi mangsa,” tuturnya.
Insiden seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku. Selain Atilia, antara artis yang pernah berdepan isu scammer termasuklah Abby Abadi, Mia Sara dan Nadia Brian . — KOSMO! ONLINE