fbpx

’30 minit hujan, taman kami akan banjir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALLEH (dua dari kiri) meninjau masalah longkang tersumbat yang mengakibatkan lebih 40 buah rumah terjejas akibat banjir kilat setiap kali hujan lebat di Taman Layar, Kuala Kedah semalam. – SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Setiap kali hujan lebat, lebih 100 penduduk yang mendiami kira-kira 40 buah rumah di Fasa 4 Taman Layar di Kuala Kedah, dekat sini dilanda gelisah selepas kawasan itu ke­rap dilanda banjir kilat.

Penduduk buntu untuk mencari jalan keluar daripada masalah tersebut kerana tiada tindakan diambil pihak berwajib, walaupun sudah berkali-kali aduan menerusi surat dibuat.

Seorang guru, Nor Izani Ibrahim, 49, berkata, penduduk mengesyaki kejadian itu berpunca dari pelan longkang yang tidak sesuai sehingga menyebabkan air tidak mengalir walaupun dalam keadaan cuaca panas.

“Saya tinggal di sini sejak 2018 dan masalah ini tidak selesai sampai kini. Malah jiran-jiran pun sudah berkali-kali menghantar surat kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tetapi tiada tindakan daripada mereka.

“Bayangkan bagaimana ­sengsaranya kami apabila air masuk ke dalam rumah walau hujan hanya setengah jam. Kami dah tak tahan tidur dalam keadaan rumah digenangi air,” kata­nya ketika ditemui di sini kelmarin.

Katanya, kejadian terbaru berlaku Ahad lalu apabila air paras lutut masuk ke dalam rumah.

“Saya kasihankan ibu, Zainah Saidin, 68, yang diserang angin ahmar dan disebabkan itu kami memohon agar isu ini diselesaikan dengan kita dijangka menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi,” ujarnya.

Seorang penduduk, Borhan Md. Zain, 72, berkata, penduduk kerugian harta benda apabila perabot mereka terutama yang diperbuat daripada kayu rosak.

“Setiap kali hujan, air dari fasa 1, 2 dan 3 akan melimpah ke sini. Air dalam longkang di sini pula memang tidak mengalir dan ia menyebabkan rumah kami banjir walaupun hujan tidak lama.

“Ini jelas sekali berpunca daripada masalah perparitan. Saya pun tak tahu macam mana MBAS boleh meluluskan taman perumahan ini tanpa melihat kepada saliran dan pengairan yang ­betul,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan pihak MBAS mengenai masalah yang berlaku.

“Masalah ini sudah berlarutan terlalu lama sedangkan mereka juga berhak hidup selesa seperti orang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI