PETALING JAYA – Hasrat seorang wanita untuk mendirikan rumah tangga bersama warga Nepal bertukar menjadi mimpi ngeri selepas dia dijadikan mangsa pemerdagangan manusia selain pasportnya juga dirampas sejak tahun 2012.
Lebih malang, wanita dikenali sebagai Mala Vello berusia 57 tahun itu, turut dipenjarakan atas kesalahan imigresen kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan setelah perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, nasib wanita itu mendapat perhatian Ahli Dewan Negara, Datuk Sivaraj Chandran yang kemudiannya mengerakkan usaha membawa mangsa pulang ke Malaysia dengan memperkenalkan hashtag #bawabalikmala.
Katanya, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membantu mengkoordinasikan proses perundangan.
“Akhirnya, wanita itu tiba di Malaysia pada pukul 6.48 pagi semalam menaiki penerbangan dari Kathmandu, Nepal,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Sivaraj berkata, rakyat Malaysia terutama golongan wanita dinasihatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
“Saya mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dan kes Mala Vello harus menjadi pengajaran kepada semua.
“Mala telah melalui penderitaan selama 12 tahun, termasuk 10 tahun di penjara. Nasibnya berubah apabila dia bertemu dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kemudiannya memaklumkan situasi ini kepada saya dan pihak kerajaan.
“Oleh itu, kita perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai hubungan atau individu yang baru dikenali, terutamanya wanita, yang sering menjadi sasaran dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE