LIVERPOOL – Aksi sukar dijangka menanti Liverpool dalam format baharu saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini apabila diundi menentang Real Madrid, RB Leipzig, Bayer Leverkusen, AC Milan, Lille, PSV Eindhoven, Bologna dan Girona.
The Reds diundi bermain empat aksi di laman sendiri, Anfield menentang Real, Leverkusen, Lille dan Bologna, manakala baki perlawanan dengan Leipzig, Milan, PSV dan Girona akan dijalankan di tempat lawan.
Pengurus Liverpool, Arne Slot percaya pertemuan menentang Real selaku juara bertahan di Anfield nanti bakal menjadi aksi tumpuan dan dianggap sebagai perlawanan paling penting buat The Reds bagi meletakkan pasukan dalam kedudukan terbaik ke pusingan kedua.
Dalam perkembangan lain, Arsenal mendapat undian mudah apabila bertemu Paris Saint-Germain (PSG), Shakhtar Donetsk, Dinamo Zagreb dan AS Monaco di laman sendiri sementara bagi aksi di tempat lawan, mereka akan bertandang bertemu dua wakil Serie A, Inter Milan dan Atalanta selain Sporting Lisbon serta Girona.
Manchester City pulaberdepan undian sukar dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini apabila bakal bertemu juara Serie A, Inter Milan selain Club Brugge, Feyenoord dan Sparta Prague di Stadium Etihad.
Juara UCL edisi 2023 itu juga akan bertandang di tempat lawan selepas diundi menentang Paris Saint-Germain (PSG), Juventus, Sporting Lisbon dan Slovan Bratislava.
Wakil terakhir Liga Perdana Inggeris, Aston Villa juga mendapat undian sukar dalam kancah UCL musim ini apabila dijadual menentang Bayern Munich, Celtic, Juventus dan Bologna di laman sendiri, manakala RB Leipzig, Club Brugge, Young Boys dan AS Monaco di laman lawan. – AGENSI
Juara Eropah 15 kali, Real Madrid terus dianggap sebagai pilihan untuk menjuarai format baharu UCL musim ini selepas diundi menentang VfB Stuttgart, RB Salzburg, AC Milan dan Borussia Dortmund di Santiago Bernabeu dengan baki empat lagi di tempat lawan menentang Liverpool, Atalanta, Lille dan Brest. – KOSMO! ONLINE