fbpx

Tol percuma sebulan sejauh 12.5 km Seksyen 1 WCE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nanta Linggi ( enam kiri) menunjukkan isyarat satu sebagai simbolik merasmikan pembukaan Seksyen 1 WCE, Banting Kuala Langat hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KUALA LANGAT – Tol percuma diberikan kepada semua pengguna Seksyen 1 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) selama sebulan bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol itu bermula dari persimpangan bertingkat Banting ke persimpangan bertingkat Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) sehingga pukul 11.59 malam pada 29 September ini.

Katanya, pengecualian tol adalah dasar semangat Hari Kebangsaan ke-67, Hari Malaysia dan Setahun MyJalan serta komitmen semua pihak dalam mendukung dasar kerajaan Madani.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan pengecualian tol selama sebulan kepada pengguna yang melalui Seksyen 1 WCE dari kedua-dua arah,” katanya ketika berucap merasmikan Seksyen 1 WCE.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, jumlah kadar tol mengikut kadar sedia ada dikenakan kepada pengguna yang menggunakan SKVE dari plaza tol seperti Ayer Hitam, SKVE Saujana Utama, Teluk Panglima Garang dan Pulau Indah untuk keluar ke plaza tol Banting WCE.

Ini juga ditambah dengan jarak persimpangan bertingkat Tanjung Dua Belas SKVE ke had sempadan WCE dan SKVE.

Menurut Alexander, WCE Seksyen 1 sepanjang 12.5 kilometer (km) yang bersambung dengan SKVE dilihat dapat memudahkan pengguna di sekitar Banting untuk ke bandar-bandar utama di selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan kajang.

“Kita menjangkakan seramai 10,000 kenderaan setiap hari dengan dapat memendekkan masa perjalanan selama setengah jam ke Banting.

“Ia juga akan menambah baik jaringan logistik terutama pergerakan pengangkutan ‘haulier’ yang membawa barangan dari pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan WCE yang mempunyai 11 seksyen menghubungkan Changkat Jering, Perak ke Banting di sini sepanjang 314.5 km.

“Kita tinggal lagi empat seksyen dengan Seksyen 2 WCE akan dibuka pada Disember ini yang akan ada kawasan rehat dan rawat.

“Bagi pihak kerajaan, ini adalah salah satu pembangunan infrastruktur negara kita yang amat dihargai kerana lebuh raya akan memangkin pembangunan ekonomi selain adalah aset strategik kepada negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI