KUALA LUMPUR – Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus melebarkan langkah pada Kejohanan Badminton Korea di Seoul, Korea Selatan apabila melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Mokpo hari ini, pasangan No.9 dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-15 ke atas beregu Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Pearly-Thinaah sedikit sebanyak mengubat kekecewaan selepas mereka sekadar melangkah ke pusingan suku akhir pada kejohanan Terbuka Jepun di Yokohama minggu lalu.
Menanti beregu wanita keempat terbaik Sukan Olimpik Paris 2024 itu di separuh akhir esok adalah wakil tuan rumah yang merupakan pasangan No.2 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee yang menewaskan Li Yi Jing-Luo Xi Min dari China 21-18, 21-17.
Atas kertas, gandingan Korea itu dilihat memiliki kelebihan kerana merekodkan dua kemenangan dalam tiga pertemuan sebelum ini dengan aksi terakhir pada Sukan Asia Hangzhou 2022 turut memihak kepada Ha Na-So Hee.
Mengiringi Pearly-Thinaah ke separuh akhir esok adalah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mencatat kemenangan 21-18, 21-11 ke atas rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai. – KOSMO! ONLINE