fbpx

Tenaga elektrik stabil, mampu tarik pelaburan berskala besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah (lima dari kiri) melawat Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW NUR Power Sdn. Bhd. di Kulim, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

KULIM – Pelaburan berskala besar dan berteknologi tinggi oleh syarikat gergasi ke negara ini hanya dapat direalisasikan menerusi penyediaan bekalan tenaga konsisten serta boleh dipercayai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, syarikat mutinasional lebih cenderung mencari kawasan yang mempunyai bekalan tenaga stabil serta berpatutan untuk mengurangkan risiko gangguan operasi dan kos berkaitan.

“Oleh itu, negara seperti Taiwan yang merupakan peneraju global dalam pembuatan semikonduktor telah melabur banyak dalam infrastruktur tenaga bagi menyokong pertumbuhan industri teknologi tinggi.

“Bekalan kuasa yang boleh dipercayai di Taiwan dan dasar kerajaan yang menyokong telah menarik banyak syarikat multinasional untuk menubuhkan operasi di sana,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90 Megawatt (MW) NUR Power di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini hari ini.

Justeru beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berharap usaha yang dilakukan NUR Power dan KHTP untuk menambah baik infrastruktur tenaga akan berupaya menarik pelaburan, meningkatkan daya saing dan memupuk inovasi.

“Kerajaan melalui kementerian berkaitan akan terus memberi sokongan dan komitmen penuh kepada pemain industri tempatan.

“Ia termasuk NUR Power sebagai pemacu perubahan untuk terus meneroka potensi dan kepakaran dimiliki serta membangunkan prasarana kondusif bagi mencapai hala tuju dan pelan Kerajaan Madani,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, menerusi turbin gas kitaran terbuka, NUR Power akan menjana kuasa sehingga 90 MW, tambahan kepada keupayaan penjanaan sedia ada oleh syarikat itu iaitu sebanyak 220MW bagi memenuhi permintaan elektrik KHTP yang semakin meningkat.

“Saya begitu teruja melihat perkembangan di Kulim Hi-Tech Park pada hari ini. Sebagai taman teknologi terawal di Malaysia, saya melihat langkah proaktif oleh tadbir urus KHTP dan NUR Power dalam menyediakan prasarana yang baik untuk menyokong usaha kerajaan menarik pelaburan ke negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata, berikutan kesediaan dan kelebihan prasarana yang dimiliki di KHTP, Malaysia berjaya menarik pelaburan syarikat gergasi yang merupakan penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG.

“Syarikat itu menambah pelaburan sebanyak lima bilion euro atau RM30.1 bilion untuk fasa ke-2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter. Ini menjadikan jumlah keseluruhan tujuh bilion euro atau bersamaan hampir RM40 bilion,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin dengan kewujudan stesen jana kuasa baharu itu, KHTP akan kekal menjadi pilihan utama pelabur melalui prasarana bertaraf dunia, cekap tenaga dengan menawarkan tarif yang kompetitif di Semenanjung ketika ini.

“Ini juga terbukti apabila Kedah kekal berada di kedudukan teratas antara negeri menerima pelaburan tertinggi yang diluluskan bagi suku pertama tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI