PETALING JAYA – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd., menjelaskan kejadian tanah jerlus di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi bukan berpunca daripada paip pembetungan awam IWK.
IWK menerusi satu kenyataan memaklumkan, pasukan operasi IWK telah memeriksa lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapati aliran air kumbahan di jajaran paip pembetungan lancar seperti biasa.
“Pemeriksaan lanjut telah dibuat petang semalam dengan menggunakan kaedah televisyen litar tertutup (CCTV) dan hasil siasatan mendapati bahawa paip dan lurang pembetungan awam berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda kerosakan dikenal pasti.
“Pihak IWK berpendapat kejadian tersebut adalah disebabkan oleh punca lain yang memerlukan penyiasatan terperinci oleh agensi lain yang berkaitan.
“Hasil siasatan CCTV telah dimaklumkan IWK kepada pihak DBKL,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, dilaporkan satu lubang besar terjadi ekoran kejadian longkang runtuh di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi pada 26 Ogos lalu.
Susulan kejadian itu, pihak DBKL telah menjalankan kerja-kerja baik pulih dan mengambil langkah awal seperti pemasangan tali keselamatan, ‘water barrier’ dan kon di kawasan kejadian. – KOSMO! ONLINE