fbpx

Sultan Selangor seru rakyat bersatu hati, jauhi politik kebencian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Foto FACEBOOK SELANGOR ROYAL OFFICIAL

PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama bertanggungjawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan serta menjauhi unsur-unsur negatif terutama isu 3R.

Menerusi satu kenyataan, Sultan Sharafuddin bertitah, institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah yang berkaitan dengan isu-isu politik.

“Institusi Raja adalah ‘above politics’, oleh itu sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah dan Institusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul dan dilaksanakan secara berhemah.

“Beta sering menasihati para pemimpin dan ahli-ahli politik untuk mengelak dari mencetuskan politik kebencian, namun demikian budaya negatif ini masih diamalkan oleh sebahagian daripada pemimpin-pemimpindan ahli-ahli politik.

“Walau bagaimanapun, Beta tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” titah Baginda sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024.

Tambah Baginda, segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik janganlah dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara.

“Sebaliknya jadikanlah perbezaan tersebut sebagai satu resepi untuk mewujudkan masyarakat majmuk yang bersatu-padu dan hormat-menghormati antara satu sama Iain.

“Usaha-usaha hendaklah dilakukan dengan berhemah bagi mengadakan program-program yang boleh merapatkan semula jurang pemisah demi mengikis segala prasangka buruk di jiwa sebahagian rakyat negara ini.

“Sempena bulan kemerdekaan ini marilah kita sama-sama bersatu hati menjadikan negara kita sebagai sebuah negara merdeka yang berdaya saing, maju dan makmur,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan rakyat agar menjauhi budaya hasad dengki, fitnah memfitnah, mengadu domba dan menghasut yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat di negara yang kita cintai ini dapat hidup rukun dan damai,” titah Baginda. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI