fbpx

Speedy Tigers perlu jadi juara Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain negara menjalani latihan terakhir sebelum berlepas ke Inner Mongolia pada 3 September ini. - MHC

KUALA LUMPUR – Pentas final sepatutnya menjadi sasaran utama skuad hoki lelaki kebangsaan apabila turun menghadapi saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China bermula 8 hingga 17 September ini.

Ia berdasarkan status Speedy Tigers sebagai naib juara di Chennai, India tahun lalu selain hakikat Malaysia masih belum pernah menjuarai kejohanan berkenaan sejak edisi pertama di Ordos, China pada 2011.

Biarpun skuad kali ini berwajah baharu sejak rombakan barisan kejurulatihan dan pemain dibuat pada Mac lalu tetapi ia bukan satu kesalahan untuk meletakkan sasaran tinggi kerana saingan ACT turut menawarkan pungutan mata kepada ranking dunia.

Berdasarkan senarai 19 pemain terpilih, 13 daripadanya seperti kapten, Muhammad Marhan Jalil, Faiz Helmi Jali, Mohd. Fitri Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius dan Faizal Saari tidak lagi ‘mentah’ di pentas antarabangsa.

Rata-rata sudah bermain sekurang-kurangnya dua edisi Piala Dunia selain skuad kali ini juga telah didedahkan dengan pelbagai aksi antarabangsa tahun ini termasuk Piala Sultan Azlan Shah, Piala Negara-Negara FIH dan Siri Jelajah Eropah.

Ketua jurulatih, Sarjit Singh berharap para pemain menunjukkan prestasi konsisten setiap kali turun beraksi dengan matlamat memburu keputusan positif agar dapat layak ke separuh akhir terlebih dahulu.

“Untuk kejohanan ini, apa yang kami barisan kejurulatihan mahu pemain tunjukkan adalah peningkatan prestasi mereka daripada satu ke satu perlawanan selain perlu ada penambahbaikan kualiti permainan daripada kejohanan yang lepas.

“Kami juga mahukan pemain konsisten setiap kali turun beraksi kerana kami mahukan perkembangan yang positif untuk jangka masa panjang dan kami barisan kejurulatihan berharap pemain akan sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

“Harapan barisan kejurulatihan pastinya mahu melihat perkembangan positif pasukan dari semasa ke semasa dan setiap pemain mengambil tanggungjawab penuh apabila beraksi di atas padang kerana mereka membawa nama Malaysia,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen yang berformat round robin menentang Pakistan pada 8 September ini diikuti China (9 September), juara bertahan, India (11 September), Jepun (12 September) dan Korea Selatan (14 September).

Sebagai rekod, Speedy Tigers yang dijadual berlepas 3 September ini dan pulang ke tanah air pada 18 September, tewas tipis 3-4 kepada India sewaktu final edisi 2023. – KOSMO! ONLINE

Berikut senarai 19 pemain membawa cabaran Malaysia pada ACT 2024 bulan depan:

PENJAGA GOL

MUHAMAD ZAIMI MAT DERIS
ADRIAN ANDY ALBERT

PERTAHANAN

MUHAMMAD MARHAN JALIL (KAPTEN)
FAIZ HELMI JALI
MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZHAR
MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN
MUHAMAD FARIS HARIZAN
SYARMAN MAT TEE

TENGAH

MOHD FITRI SAARI
NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI
SHELLO SILVERIUS
MUHAMAD SHAFIQ HASSAN
MUHAMMAD SYAWAL ABD RAZAK

PENYERANG

FAIZAL SAARI
MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL
MUHAJIR ABDU RAUF
NORSYAFIQ SUMANTRI
AZIMUDDIN SYAKIR KAMARUDDIN
MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOK

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI