MENJADI anak seni bukan sekadar menghibur dan mempamerkan bakat tetapi turut memainkan peranan lain, melontarkan kritikan sosial menerusi karya kreatif.
Namun, bukan semua anak seni sanggup menggalas tugas yang sudah dilakukan enam ahli kumpulan Drama Band iaitu Aepul Roza selaku vokalis, Padel (gitaris), Amir (gitaris), Adib (gitaris), Daus (bes) dan Faeez (dram).
Jika disingkap sejenak kegilaan Drama Band, mereka pernah ‘digam’ stesen televisyen hanya disebabkan muncul dengan imej dianggap menghina segelintir individu berpengaruh ketika membuat persembahan secara langsung pada sebuah majlis anugerah berprestij.
Sepertinya, perkara tersebut tidak sedikit pun menjadi kudis, apatah lagi menghentikan usaha Drama Band untuk terus menegur masyarakat menerusi lagu-lagu mereka.
Kini, mereka sekali lagi muncul dengan karya berjudul FYP dan boleh dianggap lagu luar kotak lazim kerana berani menyindir pasangan suami isteri juga usahawan sensasi yang pernah terpalit dengan dakwaan pecah amanah sehingga ditahan pihak berkuasa.
Teguran, gila populariti
Menurut Aepul, FYP yang merupakan akronim kepada For Your Page dalam aplikasi TikTok menggambarkan kegilaan segelintir pemain media sosial mengejar populariti dan perhatian sehingga sanggup merendahkan maruah sendiri.
Katanya, lagu yang dihasilkan meluahkan rasa geram apabila melihat maruah bangsa dan agama seperti dipermainkan dengan perbuatan negatif semata-mata demi wang ringgit.
“Ramai orang kejar konten media sosial mereka FYP demi meraih populariti segera.
“Tidak kisah nak popular tetapi ada yang sanggup guna apa sahaja peluang termasuk cara kotor yang menjatuhkan maruah dan memalukan diri sendiri.
“Jadi, itulah sebabnya lagu ini berjudul FYP. Kita nak tegur orang tidak bermoral sebegitu yang semakin hari semakin ramai dalam media sosial hari ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Disebabkan keberanian mereka menghasilkan lagu sebegitu, hampir setiap hari pasti ada netizen yang ‘tag’ nama Drama Band dalam ruangan komen untuk mana-mana isu.
Bukan satu tekanan, mereka sebaliknya menyambut baik perkara tersebut dan berasakan sudah seperti menjadi tanggungjawab untuk menegur individu berkelakuan jelik.
“Konsep kami mudah, siapa makan cili, dia rasa pedas. Kami juga untuk hadir menegur dalam lagu, sekali gus mesejnya dapat sampai menerusi lirik dan parodi dalam muzik video.
“Tipulah tidak rasa ‘pressure’ setiap kali netizen ‘petik’ nama kami tetapi sudah terbiasa dan sesekali menjentik emosi ramai dengan mesej sebegini, ada bagusnya juga.
“Kami tidak menyebut nama sesiapa pun, tetapi isu sosial sebegini memang wujud dalam kehidupan masyarakat hari ini.
“Sebagai umat Islam, ini sudah menjadi tugas untuk menegur,” ujarnya.
Aepul atau nama penuhnya Noor Syaiful Muhd Zalaludin berkata, memang terdapat dua watak yang mahu difokuskan di dalam penghasilan video muzk (MV) FYP itu kerana isu yang berlaku dan menjadi perhatian ramai.
“Ada banyak golongan ‘pemain’ untuk FYP dalam media sosial sebenarnya, tetapi yang kita mahu fokuskan untuk MV lagu ini adalah watak penunggang agama dan juga penipu.
“Sudah terlalu ramai orang sebegini wujud, sampai naik rimas dan geram melihat mereka yang menggunakan isu tertentu untuk menjana pendapatan.
“Kalau boleh jangan beri mereka perhatian seperti komen atau menonton video yang mereka keluarkan kerana itu membawa kepada engagement yang boleh memberi mereka pendapatan, tak berbaloi!” getus juara sulung The Hardest Singing Show (THSS) itu.
Konsert
Sudah lebih sedekad bergelar anak seni, Drama Band kini membawa berita gembira buat peminat setia apabila bakal muncul menerusi konsert sulung The Hardest Malam Drama pada 5 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Katanya, konsert berskala besar yang buat julung kali diadakan itu merupakan rentetan bagi jelajah siri konsert Malam Drama Mac lepas.
“Ketika diberi tawaran ini, kami rasa sebagai satu rezeki apabila Pengarah Orange International Entertainment, Datuk Mohd. Fadzli berminat untuk bekerjasama dengan kami dalam merealisasikan konsert berkenaan,
“Atas keinginan sendiri dan permintaan ramai, konsep ‘hardest’ seperti dalam program THSS akan diketengahkan pada konsert ini.
“Jadi, ada aksi yang kami akan ulang kembali seperti main drum terbalik dan sebagainya,” kongsinya.
Ditanya persaingan konsert lain pada tarikh yang sama, Aepul kekal positif selain yakin dengan konsep rezeki.
“Semuanya berbalik kepada rezeki dan kami akan bekerja keras daripada aspek promosi serta pemasaran.
“Paling saya yakin adalah harga tiket kami sangat mampu milik! Harga paling mahal yang pihak penganjur tawarkan ialah RM149.
“Itu antara strategi kami selain konsep ‘gila’ yang akan diketengahkan pada malam tersebut,” ujarnya.
Menjelang konsert berkenaan, Drama Band dijangka bakal mendendangkan sebanyak 21 buah lagu.
Tiket konsert yang mula dijual sejak 22 Ogos lalu boleh didapati menerusi laman sesawang Ticket2u.com.my.