BEKAS pemain sensasi Harimau Malaya, Faisal Halim menyeru Ultras Malaya untuk buat pusingan ‘U’ dengan tidak memboikot Pestabola Merdeka minggu depan sekali gus menyokong sepenuhnya Harimau Malaya nanti.
Sebagai rekod, Ultras Malaya membuat keputusan untuk boikot kejohanan bola sepak jemputan berprestij itu atas beberapa sebab yang tidak didedahkan.
Namun, difahamkan langkah tersebut dibuat sebagai simbolik menentang keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mudah melepaskan pengendali import Korea Selatan, Kim Pan-gon bulan lalu.
Kata Faisal, keputusan untuk memboikot tidak akan memberi sebarang petanda positif kerana apa yang penting adalah untuk memastikan pasukan kebangsaan terus maju ke depan.
“Saya rasa skuad kebangsaan perlukan sokongan kerana banyak berlaku kebelakangan ini termasuk apabila Pan-gon tinggalkan kita. Namun, kita perlu sokong jurulatih baharu, Pau Marti Vicente.
“Sama ada peminat datang atau tidak, sebagai pemain mereka perlu tetap bermain,” kata pemain pasukan Selangor FC berusia 27 tahun itu.
Sementara itu, Faisal turut percaya Pau Marti memiliki ramuan yang hebat dalam usaha meningkatkan lagi intensiti skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa nanti.
“Semasa ada Pan-gon, Pau Marti menjadi pembantu jurulatih. Sekarang beliau menjadi pengendali utama dan saya rasa semua pemain memahami dengan cara beliau.
“Mungkin taktikal baharu dan saya harap semua pemain perlu bersedia dan fokus dengan apa yang Pau Marti mahu,” katanya. – KOSMO! ONLINE