PETALING JAYA – Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatat jumlah pendapatan sebanyak RM78.3 juta untuk penyata kewangan 18M24 yang belum diaudit bagi FY2024, satu peningkatan ketara daripada jumlah pendapatan RM38.35 juta bagi penyata kewangan 12M24 yang telah diaudit bagi FY2022.
Prestasi FY2024 ini menunjukkan pertumbuhan yang dipergiat dalam tempoh transformasi, disokong oleh pendapatan yang stabil dan berdaya tahan berpunca dari model perniagaan terkini berasaskan pengguna yang pelbagai.
Sedania telah mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.57 juta bagi FY2024 bersandarkan penyusutan nilai sekali (one-time impairment) bagi segmen tenaga lestari, lantas menunjukkan langkah jelas dalam proses transformasi ini.
Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, perkembangan Sedania bagi tahun kewangan ini menunjukkan titik permulaan yang penting dalam perjalanan transformasi kami.
“Prestasi suku semasa kami mencerminkan tenaga lestari kami. Langkah ini penting untuk memastikan asas yang kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang kami.
“Kemajuan perniagaan yang dicapai setakat ini dalam segmen FMCG lestari dan teknologi pengguna lestari sudah menunjukkan bahawa kami sedang menuju ke arah model perniagaan yang lestari.
“Dalam melangkah ke fasa baharu, kami komited untuk memastikan tempoh pangkalibrasian strategi ini melahirkan pertumbuhan mampan disamping mencipta nilai untuk pihak-pihak berkepentingan kami, sejajar dengan misi kami untuk memperbaiki kehidupan secara lestari,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Selain itu, mengulas mengenai operasi Kumpulan yang kukuh, Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, dalam pelaksanaan transformasi, Kumpulan telah menunjukkan prestasi pendapatan yang positif dengan trajektori yang meningkat.
“ Ini membuktikan ketahanan model perniagaan berorientasikan pengguna kami.
“Dengan peralihan kepada sektor konsumer, kedayasaingan perniagaan teras kami bukan sahaja dapat mengukuhkan keupayaan kami untuk menghadapi sebarang cabaran tetapi juga menetapkan asas yang kukuh,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE