fbpx

Reka cerita diculik takut dimarahi bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Gara-gara takut dimarahi bapanya membuatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun sanggup mereka cerita diculik dua lelaki sehingga tular di media sosial, kelmarin.

Semuanya terjadi apabila kanak-kanak itu dikatakan mahu melarikan diri dari rumah dengan berjalan seorang diri menuju kawasan pusat beli belah berhampiran kediamannya.

Timbalan Ketua Polis Shah Alam Superintendan Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berusia 41 tahun kira-kira pukul 11.16 malam, kelmarin yang mendakwa anaknya itu diculik dua lelaki warga asing menggunakan sebuah kenderaan.

Katanya, siasatan terperinci mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Siasatan menunjukkan mangsa akan mengikut pengajian al-Quran di surau berdekatan rumahnya bermula pukul 8 hingga 9 malam setiap hari.

“Bagaimanapun pada tarikh tersebut, mangsa tidak terus pulang ke rumah tetapi telah berjalan kaki seorang diri menuju ke kawasan pusat beli belah dengan niat hendak melarikan daripada rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak itu kemudiannya telah diselamatkan oleh satu pasangan yang kebetulan melalui jalan tersebut.

Ujarnya, sebelum dihantar pulang, kanak-kanak itu telah dibawa ke sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk membeli makanan terlebih dahulu disebabkan mangsa kelaparan pada masa tersebut.

“Setelah selesai membeli makanan, mangsa meminta kebenaran untuk ke tandas dan terus menefon bapanya.

“Mangsa terpaksa mereka-reka cerita kerana takut dimarahi oleh bapanya,” ujarnya.

Tambah Ramsay, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mendapati tiada kejadian culik berlaku seperti mana yang diceritakan oleh kanak-kanak itu.

“Mangsa dilihatkan sedang membeli makanan bersama seorang lelaki yang membantu mangsa pada masa tersebut.

“Saksi ini telah dikenalpasti dan telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Kes dikasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan kepada mana-mana individu yang memberikan apa-apa maklumat palsu secara lisan atau bertulis kepada penjawat awam yang menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang sehingga mendatangkan bencana atau kegusaran kepada mana-mana orang, boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda yang boleh sampai RM2, 000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI