fbpx

Ramai ingin bermalam di Dataran Putrajaya sambut merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana orang ramai berkampung sekitar Dataran Putrajaya bagi menyambut Hari Kebangsaan ke-66 tahun lalu.

PETALING JAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok merupakan antara acara sangat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.

Tinjauan Kosmo! di ruang hantaran pengguna media sosial mendapati, ramai yang mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bermalam dan berkampung di sekitar lokasi acara bagi memeriahkan ambang malam kemerdekaan hari ini.

Kata seorang pengguna Facebook, AZ Jonny, aktiviti bermalam di sekitar Dataran Putrajaya pastinya akan memberi pengalaman paling manis kepada mereka yang terlibat.

“Nak tahu semangat merdeka anda, jom turun bermalam di Dataran Putrajaya. Ajak suami, bini, anak-anak, kawan-kawan ikut sama. Kita rapatkan hubungan antara satu sama lain. Pasti akan jumpa kawan baru malam ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa berkata, sebanyak 400 tapak perkhemahan dibuka kepada orang awam yang ingin bermalam sehari sebelum acara sambutan dan perarakan.

Katanya, lokasi tapak perkhemahan terletak di Taman Pancarona, belakang Istana Kehakiman dengan caj sewaan bermula serendah RM20 sehingga RM55.

Sementara itu, semakan Kosmo! di aplikasi TikTok, beberapa pengguna berkongsi tip kepada orang ramai yang ingin bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2024.

“Datang awal kalau nak tempat yang selesa dan strategik untuk nampak petunjukkan. Tahun lepas pukul 12 tengah malam dah penuh. Tahun ini boleh rancang lebih awal.

“Sediakan payung atau baju hujan elak panas terik dan hujan. Bawa air dan makanan secukupnya. Untuk keselesaan boleh sediakan juga kipas tangan.

“Tidak digalakkan bawa anak kecil, bayi sebab ruang tak kondusif untuk mereka,” pesan Atiqah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI