fbpx

Ramai individu positif mpox tiada gejala awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MPOX.- Gambar hiasan

PADA 14 Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak mpox sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC) untuk kali kedua.

Pengisytiharan pertama dibuat pada 23 Julai 2022, namun ditamatkan pada 11 Mei tahun lalu apabila bilangan kes menurun.

Penyakit Monkey pox atau nama baharunya mpox (cacar monyet) adalah penyakit bawaan haiwan atau zoonotik yang disebabkan oleh virus monkeypox.

Virus monkeypox dikelaskan dalam famili Poxviridae bersama-sama virus variol yang menyebabkan jangkitan small pox atau cacar.

Kedua-dua virus mempunyai persamaan genetik hampir 96 peratus.

Virus mpox pertama kali ditemui dalam monyet makmal pada tahun 50-an. Pada tahun 1970, kes mpox pertama melibatkan jangkitan manusia telah dilaporkan. Ia melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan bulan di Republik Demokratik Congo.

Virus ini terdiri daripada dua jenis strain iaitu Clade I (Congo, Afrika Tengah) dan Clade II (Timur Afrika).

Clade I menyebabkan gejala yang teruk dan kadar kematian lebih tinggi.

Wabak mpox yang terjadi pada tahun 2022-2023 adalah disebabkan oleh strain Clade IIb (gejala ringan) yang banyak dilaporkan dalam kalangan pengamal homoseksual.

Manakala, wabak semasa melibatkan Clade Ib yang juga endemik di Congo.

Strain ini dilaporkan lebih mudah merebak, sekali gus menyebabkan jangkitan teruk dan mempunyai kadar kematian tinggi berbanding Clade II.

Berbanding dengan jangkitan mpox di kawasan endemik, wabak berkenaan ketika ini dikaitkan dengan jangkitan HIV (Human Immunodeficiency Virus).

Ia juga dikaitkan dengan jangkitan seksual melibatkan golongan gay, biseksual dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM).

Tempoh inkubasi iaitu tempoh antara jangkitan dan gejala bermula adalah enam hingga 13 hari.

ORANG ramai perlu membezakan antara ruam virus Mpox, chicken pox dan campak (measles). – Gambar hiasan

Gejala awal iaitu satu hingga lima hari mpox termasuk demam, sakit otot, kelesuan dan bengkak di kelenjar limfa.

Kemudian, diikuti dengan fasa ruam dalam tempoh dua minggu.

Fasa ruam terjadi berperingkat, bermula dengan kulit kemerahan (macules) yang seterusnya membentuk ketulan kecil (papule) yang kemudiannya mewujudkan lepuh (vesicles) dan bernanah (pustules).

Di akhir fasa ini, ketulan atau kudis berisi nanah akan pecah, kering dan mengelupas.

Ruam ini boleh terjadi pada kulit di dalam mulut dan alat kelamin.

Bagi wabak mpox semasa, kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala awal, namun ruam terjadi di kawasan alat kelamin.

Ruam mpox perlu dibezakan dengan ruam disebabkan penyakit cacar air (chicken pox) atau campak (measles).

Dalam pada itu, individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua ruam telah kering sepenuhnya.

Jangkitan mpox adalah melalui sentuhan secara langsung dengan ruam, lepuh, kudis pada kulit atau melalui pendedahan kepada cecair respiratori (cecair dari mulut atau hidung) terutamanya semasa hubungan intim.

Ujian makmal adalah penting untuk memastikan pesakit mendapat rawatan awal dan mencegah daripada penularan kepada orang lain.

Virus mpox boleh dikesan daripada ruam, lepuh atau kudis melalui ujian makmal rt-PCR.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mempertingkatkan kapasiti makmal untuk menjalankan ujian pengesanan virus ini.

Setakat ini, makmal yang terlibat dalam pengujian sampel adalah Institute of Medical Research (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam (MKAK).

Kebanyakan pesakit sembuh sendiri tanpa memerlukan rawatan khusus.

Matlamat semasa rawatan adalah penjagaan ruam, mengurangkan kesakitan dan mencegah daripada komplikasi.

Langkah pencegahan termasuk mengelakkan sentuhan fizikal dengan individu dijangkiti, mengamalkan kebersihan diri dengan sentiasa mencuci tangan.

Terdapat vaksin mpox seperti JYNNEOS yang disyorkan untuk individu yang berisiko tinggi seperti mereka mempunyai hubungan rapat dengan individu dijangkiti dan pekerja kesihatan yang merawat pesakit.

Vaksin ini juga disyorkan untuk kontak rapat, sebaik-baiknya diberikan dalam masa empat hari selepas pendedahan pertama dan sehingga dua minggu jika tiada gejala.

Bagi yang bercadang untuk melawat negara- negara yang terjejas dengan wabak mpox, anda dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin terlebih dahulu bagi melindungi diri daripada jangkitan.

KKM setakat ini masih belum bercadang memperkenalkan program vaksinasi khusus untuk penyakit mpox di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI