fbpx

Projek LVNS permudahkan usaha tanam semula hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yuko Ueno (dua dari kanan) bersama Shian Lee (kanan) dan juga Ahmad Firdaus (kiri) pada majlis pelancaran Projek Hutan LVNS di ibu pejabat Leave a Nest di Cyberjaya baru-baru ini.

CYBERJAYA – Projek Hutan LVNS yang dibangunkan oleh Kumpulan Leave a Nest dan dijayakan bersama Cyberview Sdn. Bhd. dengan dua lagi syarikat pemula bakal menggalakkan usaha penghutanan semula di negara ini sebagai membantu penjagaan alam sekitar untuk manfaat ge­nerasi masa depan.

Dua syarikat pemula yang terlibat dalam projek tersebut adalah Alphaswift, pengeluar dron terkemuka di negara dan juga ACET Innovate Sdn. Bhd. sebuah syarikat firma bioteknologi yang menghasilkan enzim serta baja bio.

Pengarah Leave a Nest Malaysia, Dr. Yuko Ueno berkata, untuk fasa awal, projek kerjasama itu akan difokuskan kepada kawasan hutan yang perlu ditanam semula di Sabah dan Sarawak.
Kajian berterusan dilaksanakan bagi projek berkenaan selain pihaknya memerlukan lebih banyak penglibatan daripada syarikat pemula dan korporat, institusi pendidikan serta agensi kerajaan untuk menyokong projek berkenaan.

“Perancangan Projek Hutan LVNS adalah seiring dengan matlamat kerajaan untuk memelihara kekayaan biodiversiti dan warisan semula jadi negara.

 

“Penebangan hutan yang ke­tara kini menyebabkan impak yang besar kepada alam sekeliling untuk jangka masa panjang.

“Sehubungan itu, ia menggariskan keper­luan mendesak untuk inisiatif penghutanan semula.

“Jadi Projek Hutan LVNS berusaha untuk mengatasi trend ini dengan melaksanakan inisiatif penghutanan semula yang akan membantu Malaysia mengekalkan litupan hutannya pada ambang kritikal 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran projek tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Alphaswift, Dr. Shian Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif ACET, Ahmad Firdaus Ezani.

Projek berkenaan akan menggunakan gabungan kepakaran perkhidmatan dron untuk menjatuhkan bebola yang diisi dengan benih pokok hutan dalam kawasan sasaran hutan.

Mengulas lanjut, Shian Lee menjelaskan, dron yang akan digunakan syarikat adalah pesawat elektrik hibrid A-22 Falco yang direka khusus untuk menjayakan misi berkenaan.

Antara ciri-ciri yang terdapat pada dron buatan tempatan itu adalah masa penerbangan yang panjang agar ia dapat memasuki kawasan pedalaman yang sukar dilalui secara manual.

“Dengan kapasiti muatan sehingga 500 biji benih dan kemudahan isian minyak petrol, dron ini boleh sampai ke kawasan yang paling terpencil dan tidak boleh diakses manusia.

“Ia juga dilengkapi dengan peranti mekanikal tersuai daripada Leave a Nest, yang mana ia akan menjatuhkan satu bola benih pada satu masa dengan tepat. “
Penyemaian menggunakan dron adalah sehingga 50 kali lebih cepat daripada penanaman manual.

“Melalui pengaturcaraan perisian terbang sendiri termaju, dron kami secara autonomi mengikut laluan penerbangan yang telah ditetapkan, mengoptimumkan pengedaran benih. Penggunaan dron boleh mengurangkan kos penghutanan semula sehingga 80 peratus berbanding kaedah tradisional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACET, Ahmad Firdaus Ezani menambah, kaedah menggunakan bebola yang terdapat benih pokok hutan telah digunapakai di Jepun.

“Bola benih yang kami hasilkan adalah terdiri dari benih pokok-pokok hutan bertujuan untuk penanaman semula.

“Luar permukaan bebola itu dihasilkan daripada tanah liat dan ia tidak mudah dimakan oleh binatang ketika ia jatuh di atas tanah sehinggalah mula bercambah dalam tempoh beberapa minggu” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI