fbpx

Program e-Perkasa SPM tawar pendidikan percuma untuk 969 anak ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tiga kanan) menyampaikan sumbangan peranti Chromebook kepada salah seorang anak warga ATM yang mengikuti progam e-Perkasa SPM di Kem Mahkota di Kluang, Johor hari ini.

PUTRAJAYA- Sejumlah 969 anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini berada di Tingkatan 5 bakal menikmati kemudahan tuisyen percuma menerusi pelaksanaan Program e-Perkasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program rintis itu bakal memberi manfaat kepada anak warga ATM seluruh negara sebagai persediaan menghadapi SPM Tahun 2024.

Katanya, program berasaskan konsep mentor-mentee itu akan menggunakan platform digital seperti Google Meet dan Youtube Live bagi memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar terlibat.

“Hari ini kita lancarkan tuisyen e-Perkasa SPM yang dilaksanakan bersama antara Yayasan LTAT dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kepada anak-anak warga ATM.

“Program itu merupakan satu inisiatif tuisyen secara online bagi lima subjek terpilih iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah yang ditawarkan kepada anak-anak yang akan menduduki SPM,” katanya pada pemberita selepas sesi lawatan ke Kem Mahkota di Kluang, Johor hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pelajar terlibat juga akan menerima peranti Chromebook bagi membolehkan sesi pembelajaran secara online dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Untuk memastikan program ini berjalan lancar, kita juga akan bekalkan pelajar terlibat dengan Chromebook di mana mereka boleh menghadiri sesi tuisyen di mana-mana lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kerjasama bersama UPSI, Mohamed Khaled berkata, institusi pendidikan itu berjaya melahirkan ramai pendidik berkualiti selain pakar dalam lima subjek ditawarkan program berkenaan.

“UPSI juga ada alumni di seluruh negara, jadi apabila ada sesi seperti latihan latih tubii, pelajar boleh buat secara bersemuka bersama mentor mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan program pendidikan itu juga merupakan antara inisiatif kementerian untuk memastikan kesejahteraan warga ATM terjaga.

“Kesejahteraan anggota ATM meliputi hal-hal seperti rumah, kebajikan, pendidikan anak-anak dan kesihatan.

“Jadi, dalam konteks pendidikan, kita lancarkan ini dan berharap supaya program itu benar memberi manfaat kepada anak-anak warga ATM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI