SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menjamu selera dan menyantuni rakyat di Kedai Tok, Simpang Tiga bersebelahan Masjid Kubang Semang, di sini sebenar tadi.
Anwar tiba di kedai makan itu kira-kira pukul 12.40 tengah hari diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Ahli Parlimen Tambun itu turut menyantuni orang ramai yang tidak melepaskan peluang menikmati nasi kandar percuma sumbangan kedai terbabit.
Beliau kemudiannya dijamu dengan pelbagai hidangan antaranya gulai ikan dan ayam goreng.
Pekerja kedai terbabit, Mohd. Nazri Abd Rahman berkata, pihaknya menyediakan juadah percuma buat 250 orang sebelum menunaikan solat Jumaat.
“Kita sajikan hidangan istimewa buat Perdana Menteri iaitu gulai ikan yang sememangnya popular bersama beberapa lauk pauk lain,” katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menghadiri Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian, Perak pagi tadi.
Beliau kemudiannya mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam atau lebih dikenali sebagai High School Bukit Mertajam (HSBM) sebelum mengadakan lawatan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM). -KOSMO! ONLINE