fbpx

PM gesa KPM tekankan penguasaan Sains, Matematik, Bahasa Inggeris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) bertemu para pelajar ketika sesi lawatan ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memberi penekanan terhadap penguasaan subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah sebagai usaha menyokong pembangunan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perlu keseimbangan dalam menguasai subjek-subjek tersebut susulan berlaku perubahan dalam bidang kokurikulum dengan kewujudan cabang baharu seperti kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga hijau, teknologi digital dan media sosial.

Menurutnya, penguasaan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris yang baik adalah bersesuaian dengan peredaran zaman dan membolehkan persaingan yang lebih efisien.

“Sebab itu saya nak minta KPM untuk melakukan anjakan kukuhkan penguasaan bahasa kalau tidak akan kalah dalam persaingan.

“Malaysia dengan jentera kerajaan melalui kementerian yang aktif di dalam pelaburan, termasuk di Pulau Pinang dianggap hub semikonduktor dalam wilayah.

“Kalau Pulau Pinang hub semikonduktor, maka anak-anak di sekolah harus diberi galakan rangsangan dan asakan supaya dia lebih berminat dalam bidang matematik, sains, Bahasa Inggeris kemudian menjurus dalam bidang sains teknologi kejuruteraan, digital dan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di pada sesi kunjungan di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar merangkap Ahli Parlimen Tambun turut menggesa generasi muda hari ini supaya jangan sesekali tunduk kepada pemikiran-pemikiran yang lapuk.

“Jadi, ini cabaran yang harus direnung, diambil termasuk soal nilai kita anak Malaysia, Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan.

“Agama itu tegak sama ada Hindu atau Kristian atau Buddha untuk memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI