RANAU – Seorang pendaki wanita disahkan meninggal dunia sewaktu menuruni puncak Gunung Kinabalu di Kundasang dekat sini semalam.
Mangsa berusia 54 tahun yang juga seorang warga tempatan sebelum itu dilaporkan mengalami kesejukan dan lemah di Kilometer 8.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd. Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian terbabit pada pukul 11.24 pagi.
“Pasukan penyelamat dan Malim Gunung seterusnya menghubungi dan memohon bantuan tambahan kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) untuk tindakan lanjut.
“Mangsa dibawa ke ‘Sick Bay Panalaban’ untuk rawatan lanjut termasuk bantuan lanjut oksigen dan diberi bantuan pernafasan (CPR). Namun mangsa selepas itu masih tidak sedarkan diri.
“Kemudian mangsa diusung turun ke Timpohon Gate menggunakan ‘Neil Roberston Stretcher oleh pasukan MoSAR, TTS dan Malim Gunung,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa seterusnya mendapat pemeriksaan daripada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 8.35 malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE