fbpx

Pemain badminton remaja didenda RM25,000 pukul anjing Husky

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samuel (depan) dan pengawai pendakwa Vaterinar Mohd. Sharif ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/Kosmo!

KAJANG – Seorang pemain badminton remaja kebangsaan yang tular memukul anjing peliharaannya jenis Husky bulan lalu didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mazualina Abdul Rashid mengenakan denda tersebut selepas Samuel Lee, 21, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Samuel didakwa memukul seekor anjing baka Husky dengan tangan secara bertubi-tubi di balkoni rumahnya di sebuah residensi di Kajang di sini, antara pukul antara 12.09 hingga 12.19 pagi pada 1 Julai lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut bawah Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda minima RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Difahamkan anjing berkenaan masih dalam jagaan Jabatan Veterinar.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran mencadangkan OKS dikenakan hukuman berat diberikan sebagai pengajaran.

“Perbuatan Orang Kena Saman (OKS) yang kejam memukul anjing Husky hingga mengalami kemurungan perlu (diberikan) hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan teladan kepada anak muda.

“Kes ini mendapat liputan luas dan menimbulkan kemarahan orang awam, menunjukkan perlunya tindakan serius jenayah terhadap haiwan dan mempertimbangkan kepentingan awam dalam hukuman,” katanya.

Bagaimanapun peguam S. Rajashree yang mewakili OKS memohon hukuman denda yang minimum atas alasan anak guamnya merupakan seorang pemain badminton profesional dan mempunyai tanggungan keluarga.

Mengikut fakta kes, pada 2 Julai 2024, pihak penyelamat haiwan mengambil anjing tersebut untuk rawatan di klinik veterinar yang mana ia didapati mengalami trauma dan ketakutan ekstrem.

Pada 3 Julai, pegawai kebajikan haiwan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor melawat rumah OKS tetapi mendapati beliau tiada di rumah.

Anjing Husky tersebut, dikenali sebagai Kitster, disimpan di Kota Damansara Veterinary Centre untuk siasatan lanjut dan hasil siasatan menunjukkan Samuel Lee telah melanggar Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan melakukan penganiayaan terhadap haiwan.

Terdahulu tular video di media sosial memaparkan video seorang lelaki memukul seekor anjing berulang kali tanpa belas kasihan sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Rentetan itu, aktivis haiwan, ke lokasi dan berjaya memujuk lelaki itu menyerahkan anjing baka Husky terbabit untuk dibawa ke lokasi yang lebih selamat.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI