PETALING JAYA – Isteri kepada pendakwah selebriti Da’i Syed iaitu Hana Ismail reda dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap suaminya itu atas kesalahan merogol.
Menganggap ujian itu sebagai nikmat kecil kehidupan, Hana, 38, turut memohon doa orang ramai untuk dia terus kuat berdepan takdir kehidupan.
“Alhamdulillah untuk segala nikmat yang sudah diberikan buat keluarga kecil kami.
“Pada hari Jumaat penuh barakah ini, saya dengan rendah diri ingin memohon doa dan kebaikan daripada kalian.
“Salam sayang daripada Baba Nour (Syed), Ummi Nour (Hana) dan Nour (anak),” katanya menerusi satu hantaran Instagram Story.
Hana juga sempat berkongsi sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyentuh mengenai reda dengan ketentuan Allah SWT.
“Mata ini menangis dan hati ini bersedih. Namun kami hanya akan menuturkan apa yang diredai Tuhan kami,” katanya yang memetik Hadis Riwayat al-Bukhari.
Hana kini dalam proses berpantang selepas melahirkan anak pertama 16 hari lalu.
Terdahulu, Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Syaiful, 29, dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.
Untuk rekod, Syed mendirikan rumah tangga dengan Hana pada 3 Disember 2022.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata Bernama Sharifah Fatma Nour Jamalullail pada 14 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE