KUALA KRAI – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung sebuah bas ekspres di Kilometer 95, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Manjor, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Honda C100 meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, sebuah bas ekspres dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, mangsa pula menunggang motosikal di laluan bertentangan iaitu dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal itu cuba memotong kenderaan di hadapannya dan berada di garisan tengah jalan.
“Pemandu bas yang berada laluan bertentangan telah cuba mengelak motosikal itu, namun gagal ekoran jarak yang terlalu dekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, keadaan itu menyebabkan pemandu bas tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dihantar ke HSIP di sini untuk rawatan lanjut.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad zon merah hospital berkenaan,” ujarnya.
Tambah Mazlan, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE