fbpx

Kos RM700 juta anjur Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA muncul juara keseluruhan sewaktu menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menganggarkan RM700 juta bakal dibelanjakan bagi tujuan penganjuran Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur serta tiga negeri lain termasuk Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan, kos itu tidak ditanggung sepenuhnya kerajaan, sebaliknya dibantu tiga negeri yang sudah menyatakan kesediaan menganjurkan temasya sukan tersebut.

Katanya, jumlah itu dibuat selepas mengambil kira kos penganjuran ketika Malaysia menjadi tuan rumah menganjurkan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Untuk Sukan SEA 2027, kita sudah hantar surat kepada semua pimpinan negeri dan jemput mereka untuk jadi penganjur bersama. Selepas peringatan diberikan, hanya tiga negeri menjawab untuk menanggung (kos).

HANNAH (tiga dari kiri) pada Majlis MELP bersama penggiat industri sukan di MSN Bukit Jalil semalam. – FB KBS MALAYSIA

“Anggaran (kos penganjuran) adalah RM700 juta dibuat berdasarkan Sukan SEA 2017 dan selepas kita menolak semua komitmen serta peruntukan negeri, jadi persekutuan tak perlu tanggung banyak,” katanya selepas Sesi Peka Tenaga Malaysia Energy Literacy Program (MELP) bersama penggiat industri sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Hannah turut mendedahkan, Sarawak menjadi penyumbang terbesar antara tiga negeri terlibat apabila menanggung separuh kos penganjuran iaitu melebihi RM300 juta, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang RM15 juta.

Beliau menganggap penganjuran bersama itu adalah satu langkah bijak kerana membuka ruang buat peminat dan atlet untuk merasai suasana berbeza kerana acara-acara sukan tidak bertempat di satu lokasi sahaja.

“Nanti ada empat lokasi, bukannya di Kuala Lumpur sahaja, jadi penjimatan dan tanggungjawab bersama itu wujud. Atlet-atlet dan peminat juga boleh merasai suasana yang lebih berbeza berbanding kebiasaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hannah memberitahu ada negeri-negeri lain turut menyatakan minat untuk menganjurkan Sukan SEA 2027, namun tidak bersedia menanggung kos penganjuran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI