PETALING JAYA – Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) mencatatkan untung bersih sebanyak RM55.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (TK2024), kembali mencatat keuntungan berbanding kerugian bersih sebanyak RM16.64 juta setahun yang lalu.
Prestasi cemerlang ini didorong oleh peningkatan sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, pendapatan Kumpulan mencecah RM497.41 juta, tertinggi sejak pelaksanaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) pada tahun 1998.
Keputusan kewangan ini meningkat lebih dua kali ganda daripada RM224.06 juta bagi tahun berakhir 30 Jun 2023 (TK2023).
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, prestasi cemerlang kami ini adalah bukti minat berterusan terhadap projek hartanah kami serta kepakaran dan kredibiliti kami dalam industri pembinaan.
“Kami secara proaktif mengejar peluang baharu dengan menyertai tender dalam sektor swasta dan awam.
“Dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam bangunan bertingkat tinggi, infrastruktur, dan projek kereta api, kami berada dalam kedudukan yang strategik untuk memperluaskan buku pesanan pembinaan kami.
“Matlamat kami adalah untuk memperoleh dan melaksanakan projek besar di seluruh Malaysia, mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan kecemerlangan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Untuk suku berakhir 30 Jun 2024 (S4 FY2024), Kumpulan melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM4.50 juta, berbanding kerugian bersih sebanyak RM20.23 juta setahun yang lalu.
Pendapatan S4 TK2024 ialah RM154.99 juta, meningkat lebih dua kali ganda daripada RM72.84 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Kong Choy menjelaskan, buku pesanan pembinaan Fajarbaru kini berjumlah kira-kira RM1.01 bilion, dengan RM68 juta diperuntukkan kepada projek pembangunan dalaman.
Buku tender Kumpulan pula bernilai RM4.41 bilion setakat 30 Jun 2024. -KOSMO! ONLINE