fbpx

Dua rentung nahas tiga kenderaan di Kota Kinabalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua individu rentung dalam kebakaran kereta ekoran Perodua Axia dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu awal pagi tadi. Foto BOMBA.

KOTA KINABALU – Dua individu rentung dalam kebakaran kereta ekoran Perodua Axia dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kepayan, dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu awal pagi tadi.

Bagaimanapun, identiti kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia yang musnah terbakar masih belum dikenal pasti dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.30 pagi sebelum sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dengan dibantu BBP Putatan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kemalangan, anggota bertugas mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran berpunca daripada kemalangan membabitkan tiga kenderaan. Tiga kenderaan iaitu Perodua Axia (terbakar), Perodua Viva dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ordine menyatakan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dari jentera bomba dan terkawal pada pukul 2.58 pagi dan hasil pemeriksaan terdapat dua mangsa rentung di dalam Perodua Axia.

“Kedua-dua mangsa kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pemandu Perodua Viva lelaki berusia 34 tahun dan pemandu Toyota Hilux berusia 22 tahun cedera ringan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI